Monday, November 12, 2012

KISAH MONYET DAN KASIH SAYANG


Semasa hendak ke tempat kerja pagi ini, saya mendengar ceramah motivasi di radio IKIM oleh seorang motivator mengenai KASIH SAYANG @ LOVE
sesama manusia dan juga makhluk ALLAH yang lain diatas muka bumi ini. Di dalam ceramah itu, dikisahkan mengenai kasih sayang seekor haiwan iaitu monyet  dan anaknya.
Setelah mendengar cerita tersebut teringat lah saya akan email yang pernah diforwardkan kepada saya oleh rakan siber. Dibawah ini ialah kisahnya;
Baru-baru ini saya ke Negeri Sembilan untuk mengunjungi rumah seorang saudara.  Sewaktu kereta melalui hutan rekreasi Hulu Bendul di kuala Pilah, nun di depan  sana ,saya lihat ada sekumpulan monyet mundar-mandir di sisi jalan yang sibuk.  Ia seperti terburu-buru untuk melintas.
Saya terus memandu dan sewaktu  kereta semakin hamper, saya terkejut kerana ada seekor monyet menggeletik di  atas jalan. Ia baru dilanggar salah sebuah kereta di hadapan saya. Pantas saya  menekan brek dan memperlahankan kereta.
Kereta semakin hamper dan dada  ini berdebar apabila melihat monyet itu terus menggelupur dan menghempas-hempas  ke atas jalan. Kakinya terketar-ketar. Di sisinya ada darah dan cebisan  daging.
Tapi paling menyentak perasaan saya ialah apabila melihat  perutnya yang buncit itu terburai, dan dari celah luka besar itu tersembul  sesuatu berwarna kelabu. Tahukah pembaca, benda apakah yang saya lihat  itu?
Benda kelabu itu adalah anak yang masih dalam  kandungannya!
Pada ketika itu saya terasa tubuh ini menggeletar. Saya  pasti, si ibu monyet tadi akan mati sebentar lagi. Begitu juga dengan anaknya,  nyawanya melayang sebelum sempat melihat wajah ibu.
Sebaik melintasinya,  saya pandang cermin sisi dan belakang. Saya nampak kawanan monyet tadi  bercempera. Ia berlari-lari mendapatkan si ibu tadi, tapi kemudian bertempiaran  semula ke tepi jalan kerana hamper saja dilanggar kenderaan yang  lalu-lalang.

Mungkin kepada pembaca sekalian, apalah ada pada nyawa  seekor monyet.
Ia hanya monyet. Haiwan hodoh. Hidupnya di hutan, tidak  setaraf dengan manusiawi.

Tapi tidak kepada saya. Pulang bercuti, saya  terus catatkan surat ini, kerana peristiwa yang saya sebutkan tadi sebenarnya  telah mengingatkan saya kepada sebuah peristiwa yang berlaku pada awal  1990-an.
Ketika itu usia saya masih di awal 20-an. Hari itu, saya diajak  oleh seorang bapa saudara untuk memburu di hutan berhampiran rumah. Saya  bukanlah minat memburu, tapi daripada bosan terperap di rumah, saya terima  ajakan bapa saudara saya tadi.

Masih saya ingat, beberapa jam berburu,  matahari pun sudah meninggi, tapi tiada seekor haiwan pun melintas di hadapan  kami. Pelanduk, napuh, rusa, ayam hutan dan burung yang selalu berlegar di hutan  itu, seolah-olah bersembunyai jauh dari kami. Hutan itu sepi.

Saya  bertambah rimas, pak cik pula saya lihat mula kecewa. Hari kian beranjak petang,  pak cik menepuk-nepuk senapang Relanya. Kata pak cik, “Kita balik ajalah, hari  ni tak ada apa-apa.Mungkin esok ada habuan.”
Kami berjalan pulang, tapi  selang dua tiga puluh langkah, kami terdengar suara riuh-rendah di sebalik  pokok-pokok besar di hadapan kami. Saya mengamati suara itu, ternyata ia dating  dari sekawan monyet yang sedang memakan buah-buah hutan.

Saya perhatikan  pak cik begitu berminat memerhatikan haiwan itu. Di bibirnya ada sebaris  senyuman. Senyuman yang saya faham benar maksudnya.
Adakah pak cik hendak  menembak monyet-monyet itu?
“Haa. Pak cik nak tembak ibunya, lepas tu pak  cik nak ambil anaknya, nanti boleh bela,” begitu jawapan pak cik.
Masih  saya ingat juga, saya beberapa kali mendesak pak cik supaya membatalkan  hasratnya itu, tapi gagal. Saya gagal mengendurkan niatnya.

Tidak akan  saya lupa kata-kata pak cik petang itu, “daripada balik tangan kosong? ” lalu  dia mengacukan senapangnya ke arah kawasan monyet tadi,  dan…
DAMMM!!!
Demi berdentum saja senapang, bercempera dan  lintang-pukang monyet-monyet tadi menyelamatkan diri. Hutan itu riuh dengan  bunyai ranting patah serta jerit pekik haiwan berkenaan.
BUUUPP! Ada  suatu benda yang jatuh ke tanah.

Saya terpandang seekor ibu monyet jatuh  berdekatan kami. Saya dan pak cik terus mendapatkannya. Dari perutnya bercucuran  darah pekat. Anaknya yang tidak mengerti apa-apa terlepas dari pelukan,  tercampak tidak jauh dari ibunya sambil menjerit-jerit.

Si ibu  merengus-rengus memanggil anaknya dengan lemah. Ia cuba bangun dengan besusah  payah sambil tangannya mencapai akar-akar pokok untuk mendekati anaknya. Sebelah  tangan lagi menekap perut yang masih berdarah. Ia berusaha melangkah tapi  terjatuh semula. Digagahi lagi sambil berguling-guling ke arah anaknya. Si anak  yang baru pandai berjalan jatuh, bangun mendapatkan ibunya.

Si anak itu  terus saja memeluk ibunya yang kesakitan. Masih terbayang jelas di ingatan saya  bagaimana si ibu monyet tadi memegang tubuh dan menatap wajah anaknya puas-puas,  kemudian dicium berkali-kali.
Setelah itu dibawa si anak ke dada lalu  disuakan susunya. Saya dan pak cik terdiam melihat si anak mengisap susu  manakala ibunya mengerang-ngerang perlahan seakan memujuk sambil menahan  sakit.

Hati saya tersentuh. Betapa si anak yang baru melihat dunia tidak  tahu bahawa ibu tempat dia bermanja akan pergi buat selama-lamanya. Saya tidak  mampu menyelami fikiran ibu monyet tadi, tapi mungkin ia ingin memeluk anaknya  buat kali terakhir, sepuas-puasnya, kerana selepas ini ibu akan  pergi.

Ibu tidak akan dapat memelukmu lagi apabila kau kesejukan, menyuap  mulutmu bila kau merengek kelaparan, juga melindungimu bila kau  kepanasan.
Mata si ibu monyet itu memandang ke arah kami. Tangannya  memeluk erat si anak seolah-olah enggan melepaskannya, biarlah ia mati bersama  anaknya.
Matanya saya lihat digenangi air, masih tidak lepas memandang  kami dengan pandangan sayu, mungkin ingin menyatakan betapa kejamnya  manusia.
Dosa apakah yang aku lakukan hungga aku  ditembak?
Salahkah aku bebas ke sana ke mari di bumi indah ciptaan Allah  ini?

Tubuh ibu monyet itu berlumuran darah, begitu juga dengan si anak  yang masih di pelukannya. Beberapa detik kemudian, dengan tenaga yang masih  berbaki, kami lihat si ibu mencium anaknya untuk ke sekian kalinya.  Perlahan-lahan tubuhnya terkulai ditanah, bisa penabur dari muncung senapang pak  cik tadi tidak dapat ditanggung lagi.

Si anak menjerit-jerit memanggil  ibunya supaya bangun dan melarikan diri dari situ, tapi si ibu sudah tidak  bernyawa lagi. Puas menjerit, si anak tadi menyusu semula.

Di saat itu  perasaan saya terlalu sebak. Saya perhatikan pak cik, dia beberapa kali  menggetap bibir cuba menahan air matanya daripada tumpah ke pipi.

Tapi  bila melihat si anak monyet tadi menjerit dan menggoncang-goncang tubuh ibunya,  akhirnya air mata kami tumpah juga. Saya betul-betul kesal dengan apa yang  berlaku.
Susana sunyai kembali. Si anak monyet itu kami rangkul dan bawa  pulang, Biarpun ia terus menjerit-jerit dan enggan berpisah dengan ibunya yang  telah mati.

Di dalam kereta saya hanya mendiamkan diri. Begitu juga pak  cik. Pada ketika itu saya dapat merasakan betapa kejamnya kami kerana membunuh  satu nyawa yang tidak berdosa. Biarpun monyet itu hanya haiwan yang hodoh, tapi  mereka juga ada perasaan, ada rasa kasih kepada anak, rasa saying kepada ibu.  Tapi kita manusia??
Mana hilangnya akal waras kami?

Selang dua  minggu kemudian, anak monyet tadi mengikut jejak ibunya. Pak cik memberitahu  saya, anak monyet itu tidak mahu makan dan asyik menjerit-jerit sahaja. Mungkin  ia rindukan ibunya. Apabila malam, keadaannya bertambah teruk, dan akhirnya  mati.

Kini saya sudah bekerja dan berumah tangga. Peristiwa tadi sudah  saya ceritakan kepada anak dan isteri saya agar
mereka mengerti bahawa haiwan  juga punya perasaan. Yang kejam adalah manusia, walaupun kitalah satu-satunya  makhluk yang Tuhan anugerahkan akal fikiran.

Tidak lupa saya memberitahu  mereka betapa agung dan sucinya kasih sayang ibu.
Soalan:
- Pernahkah anda  menghadapi sendiri pengalaman kisah seperti ini?
- Adakah anda memilih orang / pilih kasih  didalam memberi kasih sayang?
- Adakah anda yang mempunyai masalah hubungan dengan ibu/bapa anda?

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...