Monday, January 28, 2013

CEMBURU????


Semilir petang yang berhembus begitu mendamaikan. Rumput-rumput hijau yang memenuhi taman kecil di tengah-tengah kawasan perumahan Taman Sentosa turut meliang lintuk dihembus bayu. Sesekali terdengar kicauan burung. Pulang ke sarang setelah seharian mencari rezeki buat menyambung kehidupan.
Cukup mengasyikkan.
Akan tetapi kecamuk rasa di hati Ahyana sedikit pun tidak berkurang dengan keindahan ciptaan TUHAN yang terpapar di depan mata. Hanya tubuhnya menikmati sapaan lembut alam, sedang jiwanya tenggelam dalam gelombang perasaan.
Satu keluhan dilepaskan. Berat!
“Mengapa kau lakukan begitu?” Solehah, teman karib yang menemaninya menghirup udara petang itu tiba-tiba melempar tanya. Agak menyentak rasa.
Ahyana memalingkan kepala sambil menatap dalam anak mata Solehah. Kelihatan sahabatnya itu serius. Namun, riak ketenangan dari wajah keibuannya itu, seperti selalu, tidak terganggu.
“Lakukan apa? Merajuk dengan suami sendiri sehingga berhari-hari. Itu maksudmu?” Ahyana membalas sinis.
Entah mengapa mimpinya dua hari lalu melihat suami yang dikasihi sedang berbalas pandang penuh cinta dengan seorang wanita jelita sangat kuat mengganggu jaganya. Ditambah pula penemuan sampul-sampul berwarna merah jambu dari kotak barang-barang lama suaminya ketika dia mengemas stor bawah tangga menjadikan perasaannya begitu sengsara. Kebetulan dia mahu mengemas rumah yang didiaminya bersama suami sejak setahun dulu yang telah lebih dulu dihuni suaminya bersama beberapa rakan bujangnya sebelum mereka disatukan.
Jelas tergambar baris-baris ceria dan mesra berisi nasihat dan kata-kata semangat yang dicoret seseorang bergelar wanita yang menjadi rakan pena kepada suaminya dalam surat-surat bersampul merah jambu tersebut.
Walaupun ia berlaku sebelum ikatan perkahwinan antara mereka, penemuan itu agak menjeruk rasa. Sakit di hatinya masih belum hilang. Sekali hatinya terluka, memang lambat untuk sembuh semula. Hanya kepada Solehah, sahabat baik yang telah lama mengenali hati budinya tempat dia meluahkan rasa.
“Buat apa surat-surat itu masih disimpan? Itu menandakan perempuan tu sangat bermakna dalam hidupnya!” Ahyana mengertap bibir. Geram.
Kali ini Solehah pula menatap muka Ahyana. Renungannya sedikit meredup. Belas bercampur simpati dengan amukan cemburu yang sedang melanda jiwa sahabat baiknya itu.
“Kau tak rasa bersalahkah? Membiarkan suamimu bagai ayam berak kapur…termangu-mangu tanpa belaian sambil menatap isteri di rumah berwajah masam? Pedih tau…”
Ahyana hanya menyambut dengan ketawa kecil. Mungkin dibuat-buat. Mungkin juga geli hati mendengar peribahasa dari bibir Solehah yang terkenal suka menyakat.
Namun, di sebalik itu, dia tahu, Solehah sangat memaksudkan setiap patah bicaranya. Tanda ambil berat seorang sahabat. Tambahan pula, Solehah ‘lebih dulu makan garam berbanding dirinya’ yang baru setahun jagung di alam rumahtangga.


WANITA DAN CEMBURU
Memang aneh memikirkan sikap cemburu orang perempuan. Kecemburuan,disebut dalam bahasa Arab sebagai ‘ghirah’ dan dalam bahasa Inggeris diatasnamakan sebagai ‘jealousy’ merupakan suatu fitrah dalam diri wanita. Puncanya pelbagai, dan ada ketikanya ia datang dari sebab yang terlalu remeh. Setiap seorang dengan ciri kecemburuannya yang tersendiri. Keadaan-keadaan di bawah ini antara sebab yang membangkitkan kecemburuan di hati seorang isteri terhadap suami :
· Foto artis/model/rakan perempuan cantik yang sedang ditatap suami.
· Senyuman manis suami kepada wanita lain juga boleh menghadirkan resah di hati isteri.
· Kecantikan rupa paras dan bakat istimewa pada wanita lain yang dipuji-puji suami.
· Dan tidak sedikit, isteri yang menderita cemburu bila melihat kemanjaan dan perhatian suami kepada wanita bergelar ibu yang melahirkannya ke dunia ini.
Tidak dinafikan ia dugaan dan ujian perasaan yang bukan mudah untuk ditatang. Tanpa kawalan emosi dan keimanan yang tuntas, cetusan cemburu itu mampu memusnahkan bila nyalaannya menjadi api yang menjulang!
Kerana itu, bukan sedikit rumahtangga yang hancur kerananya.
Saya pasti setiap wanita bernama isteri tidak dapat lari dari perasaan cemburu. Senario di atas, adalah salah satu dari sekian banyak situasi yang selalu dialami oleh wanita ketika cemburu menguasai diri. Saya tidak menafikan bahawa cemburu itu lahir dari perasaan cinta kepada suami, bak kata orang dahulu kala, cemburu itu tanda sayang, lambang cinta yang sedang mekar berkembang.
Tambahan lagi pada saya, sebagai individu muslim yang digesa oleh ALLAH SWT agar memelihara diri dan keluarga dari menjadi bahan api neraka, cemburu adalah salah satu ‘penjaga’ yang perlu dimiliki oleh wanita dalam memastikan gesaan itu terlaksana. Firman-NYA:
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai ALLAH terhadap apa yang diperintahkan-NYA kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” ( Surah At-Tahrim ayat 6 )
Cuma, ia harus dibatasi dengan keimanan yang ampuh beriring pemikiran yang jernih lagi adil agar kecemburuan itu menjadi pemangkin yang mencambah kasih sayang dalam perhubungan bukan menjadi punca perbalahan sehingga menatijahkan perpisahan.

TANDA ARAS
Bukankah kita pernah dihidangkan dengan kisah seorang sahabat di zaman Rasulullah yang meluahkan perasaan cemburunya?
Diriwayatkan tentang satu peristiwa di zaman Nabi SAW :
قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.
Maksudnya : Berkata Sa’ad bin Ubadah r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan aku pukul dia dengan pedangku!” Lalu, disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi membalas: "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi ALLAH, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah ALLAH lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan ALLAH itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi." ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Inilah tanda aras yang telah digariskan oleh Islam berkenaan cemburu yang dibolehkan dan sebaliknya. Cemburu bila melihat pasangan melakukan kemaksiatan kepada ALLAH adalah cemburu yang mesti ada supaya dengannya dapat mempastikan kehidupan berumahtangga jauh dari unsur-unsur maksiat yang boleh merosakkan keharmonian seperti pergaulan tanpa batas suami dengan saudara mara, sepupu sepapat dan rakan-rakan sekerja berlainan jantina dan seumpamanya. Demikian juga suami terhadap isteri, ibu ayah terhadap anak-anak dan lain-lainnya.
Oleh itu, dalam mengurus kecemburuan yang berlaku dalam cinta antara suami isteri ini agar tidak menatijahkan kesengsaraan dan dukacita di masa depan, Imam Ibnul Qayyim dalam kitabnya, Raudhatul Muhibbin, menganjurkan para wanita muslimah untuk meneladani sifat dan ciri bidadari syurga sebagaimana firman ALLAH SWT :
Maksudnya : “…dan untuk mereka di dalamnya terdapat isteri-isteri yang suci.”( Surah Al Baqarah ayat 25 )
Perkara pokok yang diketengahkan dari ayat di atas adalah dari aspek membangun kejiwaan yang bersih dari perasaan cemburu yang bukan pada tempatnya, menjauhi tingkah dan sikap yang menyakiti hati suami, dan menyahbuang dari benak mereka perbuatan membandingkan suami dengan lelaki lain dalam hal kebaikan dan kebajikan rumahtangga.

CELIKKAN KECEMBURUANMU...
“Yana, cara paling indah untuk berdamai dengan kecemburuan adalah dengan muhasabah diri bukan menambah benci dan sakit hati kepada suami…” Solehah melontarkan patah kata setelah suasana sunyi beberapa ketika.
Ahyana berpaling. Tertarik mendengar saranan dari sahabat baiknya itu. Dahinya berkerut, bagai ada tanda soal yang besar di kepalanya.
“Muhasabah diri? Kenapa pula aku yang kena bermuhasabah…bukan aku yang bersalah!” Ahyana menyanggah, masih larut dalam ego diri dan gundah di hati.
“Jadi, kau maksudkan suamimu yang bersalah? Sedangkan cemburumu itu sendiri hanya berpunca dari sangkaan dirimu semata, belum dipastikan duduk perkara sebenarnya lagi. Mungkin suamimu sendiri sudah lama tidak berhubung dengan wanita itu. Dan surat-surat itu, kemungkinan juga sudah lama dilupakannya. Bukankah ia tersimpan di dalam kotak di stor yang telah bertahun tidak dikemaskan?“ Solehah membayangkan kemungkinan buat Ahyana menjernihkan fikiran.
Ahyana tunduk menekur kepalanya ke lantai. Bagai ada kebenaran dari butir bicara sahabatnya. Dia diam. Mahu terus mendengar. Melihat itu, Solehah menambah…
“Ahyana… setiap perkara dalam hidup kita ini berlaku atas pilihan kita sendiri. Bukan semata takdir ILAHI yang telah menentukan begitu. Sama juga dengan rasa cemburu. Kita sendiri yang memilih sama ada rasa cemburu itu penghujungnya mendorong diri kita menjadi insan lebih baik atau hanyut diselubungi perasaan negatif hingga membawa kepada benci, hasad dan sakit hati. Itu semua lumrah kehidupan. Sebab itu, rasa cemburu jika tidak dibendung lebih awal, lama kelamaan perasaan negatif yang bertunas di hati boleh meledak api emosi. Andai tidak dikawal, ia mampu mencetuskan perbalahan lebih besar. Ibarat gunung berapi yang menanti waktu untuk meletus…busss!” Tambah Solehah sambil memuncungkan mulutnya dalam raut wajah serius.

“Jadi sebelum api cemburu bertukar tragedi cinta…sebelum takdir TUHAN dijadikan alasan perpisahan, baik buang segala prasangka dan duduk bersemuka dari jiwa ke jiwa. Celikkan kecemburuan itu, bukan membiarkannya terus ‘buta’, sahabat!” Solehah masih gigih berfalsafah.
Memujuk rawan hati seorang perempuan memang memerlukan kesenian.
Ahyana menarik nafas dalam. Kolam matanya mulai hangat dengan genangan air jernih.
Wajah Solehah dipandangnya sekilas lalu dengan pantas dia menekupkan kedua tangan ke wajahnya yang mulai cerah bak siang hari baharu disimbahi hujan pagi dengan cahaya matahari mulai memancar di sebalik awan mendung yang berarak pergi. Kolam air matanya melimpah juga.
Terdengar esakannya. Solehah simpati….namun, di dalam hatinya, dia sudah boleh tersenyum lega.
Hati wanita….bagai kerak nasi. Direndam dalam air, maka lembutlah ia.
Alhamdulillah…..

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.
Jumpa lagi, InsyaALLAH.

Copy Paste dari sini

Thursday, January 3, 2013

tanda2 kematian

TANDA-TANDA KEMATIAN UNTUK ORANG ISLAM (KURSUS PENYELENGGARAAN JENAZAH OLEH USTAZ ABDULLAH MAHMUD -KOR AGAMA TENTERA DARAT DI SURAU ANSAR,LORONG KIRI 5,JALAN DATUK KERAMAT, KUALA LUMPUR)


Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu 
memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda. 

Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini 
sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuhdan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya. Adapun riwayat -riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.

Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :

Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan
disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun 
semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau 
tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh 
tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami 
getaran atau seakan-akan mengigil.Contohnya seperti daging lembu yang baru
disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati
daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi
mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran
tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang 
hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan 
lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan 
kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar.
Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut.
Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok 
yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikatmaut akan mengambil 
daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah 
ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikatmaut ini
akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun  malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.



Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan
musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba
ianya berselera untuk makan. 



Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu
diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah
kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini
akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika 
ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit
hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian
hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang 
terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.



Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan
di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan 
kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.


Tanda akhir

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di
bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan 
naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah 
syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk 
menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan 
sekarang akan mematikan pula.


PENUTUP

Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semuga 
kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan 
diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat
membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari 
Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang 
piutang kita.Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha 
berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu 
samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah 
ketentuan Allah SWT semata-mata.
  Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita 
diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat.
Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang 
salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...